fbpx

Tokoh Momogun Muslim : Ustaz Muhammad Zaqwan Bin Asran Abdullah

Di kalangan komuniti Momogun Muslim, terdapat pelbagai jenis latarbelakang dan cerita yang
dapat dijadikan teladan dan inspirasi. Tidak terkecuali dari himpunan ini adalah kisah Ustaz Muhammad Zaqwan Bin Asran Abdullah.


Beliau yang berasal dari sebuah kampung pedalaman di Beluran, Sugut lahir dalam sebuah keluarga yang miskin. Menurutnya, kedua ibubapanya buta huruf dan oleh kerana itu, ramai pihak yang sering mengambil kesempatan ke atas keluarga mereka. Seperti masyarakat di sekelilingnya, keluarganya dahulu merupakan penganut kepercayaan Pagan yang telah diturunkan sejak turun-temurun.


“Kumpulan etnik saya digelar Orang Sungai dan kami mempercayai ajaran nenek moyang kami
yang banyak bersangkutan dengan alam sekitar. Kami diajar beberapa amalan seperti tidak
boleh menanam pokok tertentu seperti Pisang, dan tidak digalakkan keluar sekiranya
mendengar bunyi-bunyian haiwan tertentu seperti beberapa jenis burung dan seumpamanya,”
jelas beliau.


Dari kecil lagi dirinya sudah hidup dalam keadaan yang susah di mana dia sendiri sudah terbiasa
dengan konsep ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Gara-gara itu sejak berada di
darjah enam lagi, dia sudah biasa mencari kerja sambilan seperti menebang pokok, mengangkat
kayu dan macam-macam lagi demi mendapatkan sedikit wang tambahan untuk membantu
keluarganya meneruskan hidup. Malah dia sering diambil kesempatan oleh beberapa pihak kerana kerap disuruh-suruh dan diarah untuk membuat pelbagai benda. Walau bagaimanapun beliau tidak pernah berdendam dan sungguhpun keluarganya tidak berpendidikan mereka dibesarkan dengan akhlak yang baik dan bersopan-santun.


“Oleh kerana saya datang dari keluarga yang miskin, peluang untuk bersekolah bukanlah
sesuatu yang mudah bagi saya. Perjalanan ke sekolah sahaja sangat mencabar kerana tiada
jalan yang dibina ke kawasan tempat tinggal saya. Pada waktu itu, kami terpkasa melalui jalan sungai untuk ke sekolah dan menumpang orang yang ada perahu. Jika tiada yang menumpangkan saya, saya tidak dapat ke sekolah. Malah seingat saya, saya hanya dapat menjalani tahun enam sekolah rendah tidak sampai setahun gara-gara tiada pengangkutan dan pelbagai masalah lain. Jalan dibina di kawasan kampung kami pada tahun 2006 dan sebelum itu tiada kemudahan awam tersebut. Sungguhpun begitu, saya tidak mahu melepaskan peluang menimba ilmu dan terus belajar selagi mampu. Biarpun saya tidaklah secemerlang kawan-kawan saya yang lebih bernasib baik, tapi saya mampu menamatkan persekolahan sehingga ke Tingkatan Lima,” tambah beliau lagi.

Menurut Ustaz Zaqwan, beliau sudah tertarik dengan ajaran Islam sejak di bangku sekolah
rendah lagi.


“Namun saya mula mendalami agam Islam selepas berada di Tingkatan lima. Saya sedar ketika
itu bahawa Tuhan itu satu, namun ada banyak agama lain di dunia. Malah saya ada juga
beberapa kawan yang beragama Islam, tetapi cara hidup mereka tidak melambangkan Islam
yang sebenar. Jadi saya terus mencari untuk mendalami agama. Alhamdulillah, di awal sekolah menengah lagi saya sudah mula mengikuti beberapa kawan lain menunaikan solat fardhu dan inilah yang membawa saya ke Islam sedikit demi sedikit. Yang pertama memeluk Islam dalam keluarga saya adalah abang kandung saya sendiri dan kemudian saya, seterusnya ini diikuti oleh
seluruh ahli keluarga yang lain, “ jelas Ustaz Zaqwan tentang penghijrahannya.


Selepas memeluk Islam beliau telah memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam dan sempat menimba ilmu di beberapa madrasah di Semenanjung Malaysia. Ramai saudara baru yang lebih awal memeluk Islam turut menjadi antara guru-gurunya yang terawal.


“Kini saya bertugas sebagai pegawai di Hidayah Centre Foundation di Beluran dan kami
melakukan pelbagai aktiviti untuk komuniti Momogun Muslim khasnya. Sebagai contoh,
biarpun terdapat semakin ramai ahli komuniti yang memeluk Islam di kampung-kampung
pedalaman namun mereka masih banyak yang tidak tahu tentang hukum agama secara asas.
Jadi kami dan pasukan kami datang untuk memberikan kelas pendidikan Islam supaya mereka
lebih memahami ajaran agama.


Selain itu, sekiranya kami dapat mengenal pasti anak-anak yang berpotensi tinggi, kami
menghantar mereka ke institusi-institusi tertentu untuk melanjutkan pelajaran. Saya tidak mahu anak-anak ini mendapat nasib yang sama seperti saya dahulu. Saya ingin melihat mereka berjaya dan mahu mereka merebut peluang yang ada. Oleh sebab itu saya berikan apa sahaja bantuan yang termampu. Ini termasuklah pertolongan kebajikan seperti menghantar barangan makanan dan juga keperluan asas.


Buat masa sekarang saya lihat komuniti Momogun Muslim masih sedikit ketinggalan dari segi
ekonomi dan pendidikan. Jadi saya berharap sangat supaya keadaan ini dapat diperbaiki dan
berubah maju. Saya sangat berharap supaya semua anak-anak muda ini akan terus mengejar peluang yang ada dan akan belajar sejauh mungkin. ini kerana saya melihat sendiri bahawa sebenarnya ramai di kalangan anak-anak komuniti Momogun Muslim ini berkebolehan, tetapi mereka tidak mempunyai dorongan dan sokongan yang sepatutnya,” ujar Ustaz Zaqwan lagi.


Beliau berharap supaya anak-anak komuniti Momogun Muslim yang sudah berjaya pergi jauh
dalam pelajaran untuk kembali ke kampung halaman mereka dan membantu masyarkat
setempat mengukuhkan ekonomi dan membangunkan komuniti mereka. Kini beliau juga sedang sibuk dengan projek membina madrasah di kawasan pedalaman Beluran demi membantu masyarakat Islam setempat untuk mempunyai kemudahan terhadap pendidikan.


“Saya harap madrasah ini dapat melahirkan lebih banyak ilmuan dari semua aspek dan
membantu mengangkat kedudukan masyarakat Momogun Muslim,” katanya menutup
perbualan.


Semoga usaha murni Ustaz Zaqwan ini diberkati Allah dan semoga kisah kesusahan hidupnya
menjadi teras bukti kepada semua bahawa kejayaan mampu dimiliki dengan tekad serta usaha.
Kami mendoakan supaya semua usaha beliau mendapat kejayaan di dunia dan akhirat Inshaa
Allah.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top