fbpx

Hinava : Salad Ikan Unik Turun-Temurun

Seperti yang dimaklumkan Momogun adalah nama kepada kumpulan subetnik Kadazan, Dusun, Rungus, Sungai, Murut dan lain-lain ahli masyarakat yang terdiri daripada hampir 100 kumpulan pribumi etnik di Sabah. Dan dengan begitu banyak kumpulan etnik pastinya terdapat ajnas budaya dan peninggalan warisan.

Bila berbicara soal makanan dan selera pula, terdapat pelbagai jenis hidangan lazat kumpulan-kumpulan etnik ini. Salah satu sajian popular dari kalangan ini adalah Hinava.

Hinava atau kadang disebut Hinava Ginapan merupakan salah satu hidangan tradisional khas buat suku kaum Kadazan-Dusun di Sabah. Ia turut dianggap sebagai salah satu makanan paling dikenali di kalangan kaum Kadazan-Dusun.

Hidangan ini biasanya dihasilkan daripada isi ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia, bawang merah , limau kapas dan garam. Isi ikan tersebut tidak perlu dimasak kerana ia akan masak secara ‘sendiri’ dengan menggunakan perahan jus limau sama ada menggunakan limau nipis ataupun limau kasturi (seperti makanan Jepun Sushi)

Terdapat pelbagai jenis ikan yang boleh digunakan, tetapi biasanya isi ikan tenggiri, yang kerap menjadi pilihan. Walau bagaimanapun isi ikan yu juga boleh digunakan sebagai alternatif. Selain itu isi  sotong serta udang juga boleh digunakan bagi penyediaan Hinava ini.

Hivana biasanya merupakan hidangan istimewa semasa pesta Tadau-Kaamatan. Selain itu ia juga menjadi hidangan istimewa pada majlis-majlis penting lain seperti bagi perkahwinan, pertunangan dan seumpamanya.

Oleh kerana ia menggunakan ramuan yang Halal, semua orang bergama Islam boleh membuat dan memakannya. Untuk itu kami kongsikan resepi Hinava yang kami temui bagi mereka yang ingin mencuba membuatnya.

RESEPI HINAVA

Bahan-Bahan :

2 ½ kati  isi ikan tenggiri yang telah dibuang tulang-tulangnya. 
1 ½ cawan jus limau nipis 
4 – 5 camca besar biji bambangan yang telah diparut dan dikeringkan
2 inci  Peria yang telah dihiris halus (dicuci dengan garam sekali) 
4 – 5 Ulas  Cili merah dihiris halus 
Garam secukup rasa 

Cara Menyediakan :

Campurkan kesemua bahan-bahan dalam satu mangkuk dan gaul dengan rata. Biarkan selama 10 minit sebelum dihidangkan. 

Perhatian :
Hidangan ini tidak perlu dimasak, oleh itu bahan-bahan yang disediakan mestilah segar dan telah dibersihkan.

Mudah sahaja langkah-langkahnya bukan? Jadi bagi yang ingin mencuba, inilah peluangnya. Selamat mencuba dan semoga hasilnya lazat serta menyelerakan. Ikuti kami untuk pelbagai perkongsian tentang budaya dan gaya hidup masyarakat Momogun Muslim di edisi seterusnya. Insyaa Allah.

sumber : wikipedia dan resepi momogun rungus

Gambar ihsan : resepi momogun rungus

Leave a Comment

Your email address will not be published.

Scroll to Top