fbpx

Kluster Baru Muncul, Kawalan Pergerakan Diperketat di Sabah

Nampaknya, para penduduk di Sabah harus terus berhati-hati dan mengamalkan segala langkah keselamatan yang perlu demi mencegah penyebaran wabak Covid-19.

Laporan terbaru mendapati bahawa tiga kluster baharu direkodkan di Sabah iaitu Kluster Karamunting di daerah Sandakan, Kluster Saga di Kota KInabalu dan Kluster Haven di daerah Lahad Datu.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan juga merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Masidi Manjun, Kluster Karamunting mencatatkan sebanyak 21 kes, Kluster Saga sebanyak sembilan kes dan Kluster Haven sebanyak 11 kes.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan Laporan Harian Kes Jangkitan COVID-19 di Kota KInabalu pada 11 November 2020 semalam.

Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah Masidi berkata jumlah kes positif baharu COVID-19 di negeri Sabah adalah sebanyak 259 kes dan menjadikan jumlah kumulatif ialah sebanyak 21,448 kes.  Menurutnya lagi, dua kes kematian dicatatkan iaitu satu di daerah Sandakan dan satu di Kota Kinabalu dan seramai 553 pesakit COVID-19 telah discaj / sembuh dari hospital. 

Tambahnya, seramai 2,935 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 739 orang di hospital dan 2,196 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). 

Masidi berkata bilangan pesakit COVID-19 dalam ICU ialah 69 orang dan 19 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau juga memberitahu bahawa jumlah kapasiti katil di Hospital COVID-19 adalah sebanyak 1,010 katil. Manakala di PKRC adalah sebanyak 8,091 katil menjadikan jumlah keseluruhan 9,101 katil. Peratus penggunaan katil kini adalah pada 32.25%.

Sementara itu pihak polis menutup 10 laluan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sabah Baru di Lahad Datu, bagi mengelak penduduk menyelinap keluar dan masuk kampung berkenaan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Nasri Mansor berkata kedudukan strategik kampung yang diingkungi jalan bakau dan jalan laut dikhuatiri menjadi laluan tikus.

“Polis dan agensi keselamatan lain telah memasang kawat berduri di laluan yang dijangka menjadi lorong tikus dan digunakan penduduk untuk lari,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Nasri berkata laluan dari Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) yang berdekatan kampung itu juga turut ditutup dengan menggunakan kawat berduri.

“Setakat ini, keadaan terkawal, penduduk di sana menerima arahan PKPD ini dengan baik dan bantuan bakul makanan juga telah disalurkan, saya berharap penduduk sentiasa patuh dengan arahan petugas,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lahad Datu Juraimin Jadil berkata PKPD yang berkuat kuasa pada 10 hingga 23 Nov ini membabitkan 701 rumah dengan 3,917 penduduk.

Juraimin yang juga Pegawai Daerah Lahad Datu berkata pelaksanaan PKPD bagi memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan COVID-19 bersasar seterusnya menyekat penularan kepada komuniti setempat.

Mengikut laporan PKOB daerah, sehingga semalam, seramai 102 individu dikesan positif COVID-19 daripada 441 individu yang disaring di lokaliti itu.

Untuk itu kami harap kesemua saudara kita di kalangan komuniti Momogun Muslim dan juga penduduk Sabah yang lain berada dalam keadaan selamat dan sentiasa berhati-hati. Semoga Allah melindungi kita semua dan sama-samalah berdoa supaya ujian ini akan berlalu secepat mungkin. Inshaa Allah.

sumber ihsan Berita Sabah, Utusan Borneo dan BERNAMA.

Gambar hiasan dari Unsplash

Leave a Comment

Your email address will not be published.

Scroll to Top