fbpx

Nicholas Sylvester Ingin Menjadi Rahmat Buat Alam

Setiap orang di dunia ini ada peranan masing-masing. Biarpun kita semua tahu bahawa Allah yang Maha Esa menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi, namun ia tidak berhenti di situ sahaja. Ini kerana setiap insan ada tanggungjawab tersendiri. Begitu jugalah dengan Tuan Haji Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester, pengasas serta Ketua Pegawai Operasi (CEO) Hidayah Centre Foundation dan penggerak utama di sebalik Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (PKDMMS) / Momogun Muslim. 

Andai dilihat dari segi pengalaman dan pencapaian beliau, Tuan Haji Nicholas boleh dianggap sebagai seseorang yang sudah sampai ke puncak kejayaan. Jelas sekali, dirinya memang wajar disegani dan dihormati oleh mereka yang telah dan juga baru mengenalinya. Dilahirkan di Papar, Sabah pada 8 Disember 1966, beliau merupakan pemegang Diploma Lepasan Ijazah Chartered Insititute of Marketing, Sarjana Pentadbiran Perniagaan University of Hull serta ahli Chartered Insititute of Marketing dari United Kingdom. Berbekalkan beberapa kelulusan lain dan juga  berbilang jawatan sampingan, dirinya juga pernah menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul Negeri Sabah pada tahun 2009 serta Anugerah Khas Tokoh Maal Hijrah Wilayah Persekutuan tahun 2013.

Namun, walaupun sudah berada di suatu tahap yang agak tinggi dalam kerjaya, keperibadiannya sama sekali tidak membiaskan sedikit pun unsur angkuh atau membangga diri. Malah orangnya sangat merendah diri dan mudah didekati. Ini ketara kala beliau ditemubual untuk petikan ini.

Sungguhpun diwawancara secara atas talian lewat pertemuan maya sahaja, namun keikhlasannya terdengar saat berkata-kata. Setiap pertanyaan yang diajukan dijawab dengan mudah, jelas dan paling penting padat dengan cebisan ilmu. 

Tika ditanya mengapa beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan Hidayah Centre Foundation (yang kini sudah menjadi sebuah organisasi besar dengan cawangan di seluruh negara), beliau menyatakan bahawa dirinya ingin membantu saudara seiman, khasnya para saudara serumpunnya iaitu mereka yang berasal dari Sabah dan baru memeluk agama Islam.

“Komuniti Kadazan Dusun Murut yang baru memeluk agama Islam biasanya tidak mempunyai identiti mereka sendiri. Jika mereka berpindah dari agama Pagan atau Kristian ke agama Islam, rata-rata para majoriti komuniti ini akan terikut dengan budaya komuniti Islam yang lain seperti budaya masyarakat Muslim Brunei (jika mereka berkahwin dengan warga Muslim Brunei) dan juga etnik-etnik lain seperti Jawa dan seumpanya. Seolah-olah mereka ‘hilang budaya’ etnik mereka tersendiri.

Jadi saya ingin membantu mereka mengekalkan budaya mereka sendiri selepas menjadi Muslim tanpa perlu melanggar hukum-hakam serta peraturan yang telah ditetapkan dalam agama Islam,” jelas beliau di awal perbualan.

Menurutnya, komuniti Kadazan Muslim sebenarnya sudah semakin ramai dan mencecah lebih 20% di Malaysia. Tetapi sayangnya, yang masih mengekalkan budaya serta identiti mereka adalah komuniti pribumi Kadazan Dusun yang masih beragama Kristian atau Pagan sahaja. 

“Melalui organisasi yang saya tubuhkan saya ingin membantu para saudara baru dari komuniti ini untuk terus mengekalkan budaya dan identiti etnik serta bangsa mereka dengan landasan Islam yang betul.

Ini kerana masih ada di kalangan mereka yang masih belum mampu menyempurnakan amalan mereka sebagai seorang Muslim. Masih ada yang belum lengkap solatnya, masih minum minuman beralkohol dan sebagainya. Jadi ia tanggungjawab saya untuk membantu mereka. Sebagai manusia kita semua harus cuba memperbaiki amalan masing-masing, jadi saya berharap usaha saya ini dapat membantu mereka. Sekurang-kurangya dengan menolong membentuk serta mengekalkan identiti dan jati diri mereka sebagai Muslim dari komuniti KDM, ia dapat memotivasi mereka untuk menjadi Muslim yang lebih baik juga,” tambahnya lagi.

Ternyata usaha murninya ini sudah mula menampakkan hasil. Kini semakin banyak aktiviti kebudayaan kaum Kadazan Dusun yang dilaksanankan oleh komuniti Muslim mereka. 

“Sebagai contoh mereka masih boleh tampil dengan pakaian tradisional mereka selagi masih menutup aurat di acara-acara kebudayaan. Tambahan lagi sekarang Pesta Kaamatan juga tetap diraikan oleh komuniti muslim KDM dengan cara yang patuh syariah. Sambutan juga dilakukan sehingga peringkat kebangsaan berserta perarakan perwakilan dari setiap daerah.

Kami juga mengadakan aktiviti-aktiviti lain seperti majlis ilmu antara agama seluruh Sabah selain kegiatan yang baru termasuk penerbitan Al-Quran dengan terjemahan Bahasa Dusun.

Lebih memberangsangkan lagi apabila segelintir golongan terdahulu yang pada mulanya agak skeptikal sudah mula bersetuju dengan langkah-langkah yang kami ambil. Kami ingin menunjukkan keindahan persahabatan umat Islam. Ini sempat kami paparkan baru-baru ini sewaktu sambutan Tadau Kaamatan yang dilakukan secara dalam talian dan membabitkan sehingga 2000 orang. Ia terbuka kepada semua orang termausk yang berlainan agama. 

Ini diikuti dengan ibadah korban sempena perayaan Aidiladha di mana pihak mufti sendiri menyatakan daging Korban boleh diagihkan kepada mereka yang bukan beragama Islam,” ujarnya panjang lebar.

Kalau disingkap kesemua usaha yang telah dijalankan oleh organisasinya, sudah tentu ramai yang kagum kerana begitu banyak perubahan yang telah beliau lakukan. Namun ini sebenarnya tidak menghairankan kerana beliau telah menimba ilmu di banyak tempat dan sudah mengembara ke serata dunia. Malah mengembara memang salah satu aktiviti kesukaan beliau dan sehingga kini anak jati Sabah yang sudah memeluk Islam sejak berumur 18 tahun ini sudah melawat sekitar 30 buah negara.

Seperti kebanyakan orang yang suka mengembara, selera makan juga pasti bervariasi.

“Sebagai anak jati Sabah saya paling gemarkan Soto Sabah kerana rasanya yang unik dan berbeza dengan Soto yang lain. Saya juga suka makan rumpai laut namun saya tidak suka makanan yang terlalu pedas hingga boleh menyebabkan sakit perut,” katanya sambil ketawa dalam perbualan.

Sesuai dengan penampilan dan pencapaian beliau, dirinya juga suka mengkaji dan membaca. Malah dari mengkaji dan membacalah beliau menemui Islam.

“Saya sebelum ini beragama Katolik dan dibesarkan dalam keadaan sekeliling yang penuh beragama. Malah ayah saya seorang yang boleh dianggap penting dalam komuniti agama Katolik dan sangat menjaga kedudukan agamanya. Namun saya menemui Islam dalam kitab Bible itu sendiri, saat saya menyedari bahawa Islam mengajarkan sepenuhnya amalan yang sudahpun disebut dalam kitab Bible,” tambahnya lagi.

Kala ditanya apakah nasihatnya buat mereka yang masih tercari-cari keredhaan Tuhan, beliau menyampaikan pesanan yang agak mudah untuk difahami.

“Janganlah berhenti meminta petunjuk daripada AllahS.W.T. Setiap kali menunaikan solat sebanyak 17 rakaat sehari, mintalah daripada-Nya. Untuk berjaya di dunia dan akhirat, perlukan usaha. Jadi jangan berhenti berusaha. Hidayah tidak datang datang begitu sahaja. Ia harus dicari.  Jadi adalah tanggungjawab kita untuk terus berusaha mencari hidayah-Nya,” jawabnya dengan mudah

Saat ditanyakan tentang harapannya untuk masa depan pula, beliau menyatakan yang dia juga mempunyai cita-citanya tersendiri.

“Seperti orang lain saya juga ingin masuk ke syurga Allah. Jadi saya mahu melakukan amal soleh sebaik mungkin. Sudah tentu saya ingin mencontohi tauladan Rasulullah S.A.W. Jika dia dijadikan Tuhan untuk menjadi rahmat seluruh alam, begitu jugalah saya yang ingin berusaha untuk menjadi rahmat buat semua,” ulasnya menutup bicara. 

Semoga segala usaha Tuan Haji Nicholas Sylvester dirahmati Allah dan semoga kita semua mendapat keredhaan yang dicari-cari. Jadi sama-samalah kita berusaha mengejar cita-cita itu bersama. Insyaa Allah.  

Leave a Comment

Your email address will not be published.

Scroll to Top