Bagi kita rakyat Malaysia, sambutan Hari Malaysia mungkin bukanlah sesuatu yang baru dan secara umum kita semua memahami kepentingan hari tersebut. Tetapi buat warga asing, kadangkala mereka sendiri keliru dengan sambutan ini kerana gagal membezakan Hari Malaysia dengan Hari Kebangsaan kita.
Yang pasti Hari Malaysia disambut pada 16 September setiap tahun untuk memperingati penubuhan persekutuan Malaysia di tarikh yang sama pada tahun 1963. Ia menandakan penggabungan bersama Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk sebuah negara baru bernama Malaysia.
Pada awalnya pembentukan persekutuan baru ini dirancangkan berlaku pada 1 Jun 1963 namun kemudiannya ditangguhkan ke 31 Ogos 1963 bagi membolehkan ia disambut bersama-sama dengan sambutan hari kemerdekaan ke-6. Namun, beberapa isu berkaitan dengan bantahan Indonesia dan Filipina untuk pembentukan Malaysia telah memperlambatkan proses pengisytiharan hingga ke 16 September pada tahun yang sama. Penangguhan itu juga dibuat bagi membolehkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memperuntukkan masa membuat pungutan suara di Borneo Utara (kini Sabah) dan Sarawak.
Hari Malaysia juga sebenarnya merupakan cuti am di negeri Sabah sempena hari keputeraan Yang Di-Pertua Negeri. Walaupun pada awalnya Hari Malaysia bukan merupakan cuti am di Sarawak dan Semenanjung Malaysia, namun mulai tahun 2010, Hari Malaysia telah diisytiharkan sebagai cuti am di semua negeri di Malaysia.
Kini Hari Malaysia mempunyai maksud tersendiri buat rakyat Malaysia, khasnya rakyat Malaysia yang berada di Sabah dan Sarawak. Ini kerana pembabitan negeri-negeri ini juga memainkan peranan yang penting dalam pembangunan Malaysia.
Malah penyertaan Sabah dan Sarawak menyemarakkan lagi keharmonian budaya rakyat Malaysia dengan pengiktirafan pelbagai suku dan etnik yang ada di kedua-dua negeri tersebut. Bukan sahaja berbilang bangsa, tetapi ajnas agama juga mula mewarnai lanskap kebudayaan penduduk.
Bagi golongan Momogun Muslim di Sabah, sambutan Hari Malaysia ada maksud tersendiri.
“Hari Malaysia sungguh bermakna kepada kita seluruh penduduk bumi bertuah Malaysia ini kerana ia menyatukan kekuatan dan keunikan budaya, tamadun dan sumber tiga negeri bagi membentuk sebuahnegara Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Semangat kesatuan dan perpaduan yang dimeterai oleh pemimpin kita yang terdahulu yang dicatat dalam dokumen sejarah MA63 wajib dihormati dan direalisasikan bersama. Malaysia tanah air kita. Ayuh kita bina dan majukan Malaysia sebagai negara penuh rahmat untuk kemakmuran seluruh bangsa bersama.” ujar Pengasas Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Muslim SeMalaysia (MMS), Tuan Haji Nicholas Sylvester.
Selain beliau, beberapa wakil lain turut sama menyuarakan pendapat mereka tentang Hari Malaysia dan kepentingannya buat mereka.
“Hari Malaysia, mengingatkan kita tentang jasa dan pengorbanan para pejuang Malaysia. Ia juga mengajar kita untuk mensyukuri nikmat negara yang aman dari jajahan. Ini juga membantu dalam mengeratkan lagi ukhwah antara negeri-negeri dan pentadbiran negara yang lebih baik. Selain itu strategi dakwah juga lebih mudah diperluas dan sekaligus menjadikan golongan Momogun Muslim lebih mudah bergerak ke arah kemajuan dari segi idealisme,” ulas Ustaz Adlie, Pengerusi MMS Tenom.
Turut sama memberikan pendapat tentang hari ini adalah saudara Irfan Abdullah, sekretariat PKSMMS. Menurutnya, Hari Malaysia dapat memupuk semangat patriotik, dan meningatkan untuk menghargai pengorbanan pejuang tanah air pada masa dahulu. Dan yang paling penting ia memupuk semangat menghargai serta cinta kepada negara dan membuat kita ingin menabur bakti buat Malaysia.
“Dalam konteks keharmonian dan kemanusiaan, peneguhan kedudukan Sabah dan Sarawak ini sangat menyumbang dari segi kesedaran dan kebajikan terhadap komuniti Momogun Muslim dalam aspek pegangan hidup yang jelas dan peningkatan produktiviti diri.
Saya juga berharap Momogun Muslim menjadi peneraju kepada keharmonian dan rahmat kepada semua, dan mampu lahirkan ahli akademik atau intelektual yang seiring dengan pegangan rohani, intelek dan moral. Saya juga berharap mereka menjadi bangsa yang membudayakan dakwah dan ilmu dalam diri di samping membina tamadun yang berasaskan tauhid kepada Allah,” tambahnya lagi.
Tidak ketinggalan berkongsi perasaan tentang Hari Malaysia adalah salah seorang wakil wanita iaitu Ustazah Hidayah, Pengerusi MMS Keningau.
“Hari Malaysia adalah simbol pengiktirafan dan kepercayaan bangsa dan agama lain yang lebih jelas dan nyata terhadap Islam. Pembangunan dari sudut ekonomi, pendidikan, sosial, infrastruktur juga berlaku walaupun sangat perlukan penambahbaikan. Ia juga mengukuhkan kesedaran rakyat Sabah dan Sarawak untuk fokus pada pengurusan negeri serta ekonomi mengikut acuannya. Pengukuhan ini juga sudah tentu memberi infak yang baik kepada MMS. Lebih penting MMS sendiri menyumbang kepada pembinaan masyarakat Momogun Muslim sendiri membangun seiring dengan bangsa lain.
Ia juga memudahkan lslam supaya lebih mudah diterima dan mendapat sambutan untuk dianuti. Diharap semua ini dapat membina industri yang mengeluarkan segala keperluan tempatan dan bahan eksport dan melahirkan masyarakat beragama Islam, maju dan berakhlak,” katanya menutup bicara.
Semoga dengan izin dan kehendak Allah, Malaysia akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan. Di harap rakyat Malaysia juga sentiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya demi mengekalkan keamanan deengan segala bangsa di dunia ini.