fbpx

Kesan Pembentukan Malaysia: Ini 4 Perkara Yang Negeri Sabah Peroleh!

Pada tahun 1963, Persekutuan Malaysia telah berjaya dibentuk melalui penyertaan bersama Malaya, Singapura, Sarawak dan juga Borneo Utara yang kini dikenali sebagai Negeri Sabah. Pelbagai usaha telah dilakukan secara bersama oleh para pemimpin tempatan sehinggalah idea Pembentukan Malaysia ini berjaya direalisasikan. Namun, apakah keistimewaan dan hikmah yang didapati daripada kesan pembentukan Malaysia ini khususnya kepada Negeri Sabah?

Kesan pembentukan Malaysia terhadap Sabah

Terdapat beberapa hikmah atau kesan pembentukan Malaysia ini, terutamanya terhadap Negeri Sabah yang mungkin tidak begitu disedari. 

Antara hikmah-hikmah penyertaan Sabah semasa pembentukan Persekutuan Malaysia ialah:

#1. Sabah mencapai kemerdekaan lebih awal

Sebelum penjajahan pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua, Sabah ditadbir secara terus oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British atau singkatannya SBUB. 

Selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, Borneo Utara (Sabah) pada ketika itu telah diambil alih pentadbirannya oleh Pentadbiran Tentera British dan ditukarkan statusnya kepada sebuah Jajahan Mahkota British. 

Pentadbiran Tentera British ini terus menguasai Borneo Utara sehingga tahun 1963. Pada tahun 1962, iaitu setahun sebelumnya, satu suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Cobbold telah dibentuk bagi meninjau pendapat rakyat Sabah mengenai penyertaan Sabah ke dalam pembentukan Persekutuan Malaysia. 

Majoriti rakyat pada ketika itu telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan ini telah membuka ruang kepada mereka untuk mendapatkan kemerdekaan. 

Disebabkan oleh rundingan pembentukan Malaysia ini, pihak British telah bersetuju untuk melepaskan dan memberikan kemerdekaan yang lebih awal kepada Sabah untuk membentuk kerajaan sendiri. 

Dengan kata lain, pembentukan Malaysia telah mempercepatkan kemerdekaan Sabah daripada penguasaan British. 

#2. Mengekang ancaman dan pengaruh komunis

Pada sekitar tahun 60-an, pihak British sememangnya telah merancang untuk memerdekakan tanah jajahannya di seluruh dunia, termasuklah di Sabah. Namun, disebabkan oleh keadaan politik dan perkembangan ekonomi yang tidak stabil, rancangan pemberian kemerdekaan ini terpaksa ditangguhkan oleh pihak British. 

Namun, pihak British juga memikirkan satu hal yang sebaliknya iaitu jika Sabah tidak diberikan kemerdekaan, maka dibimbangi pengaruh komunis yang menyebar akan semakin bertapak kukuh di Sabah. 

Oleh sebab itu, dengan pembentukan Persekutuan Malaysia, pihak British yakin bahawa Sabah boleh mula menubuhkan kerajaan mereka sendiri dan seterusnya mengelakkan fahaman komunis daripada menguasai penduduk tempatan. 

#3. Hak masyarakat pribumi lebih terbela, perkongsian ekonomi antara wilayah

Sebelum penyertaan Sabah ke dalam pembentukan Persekutuan Malaysia, penduduk pribumi di Negeri Sabah tidak mempunyai jaminan hak mereka sepertimana orang Melayu di Semenanjung Malaysia. 

Sebelum kemerdekaan dicapai, kebanyakan sektor ekonomi di Sabah dikawal dan dimiliki oleh warga asing. Rakyat pribumi Sabah pada ketika itu hanya bergantung kepada sektor domestik seperti pertanian sahaja. 

Melalui penyertaan Sabah ke dalam Malaysia, hak penduduk pribumi ini dapat dibela dengan lebih baik. Selain itu, penyertaan ke dalam Persekutuan Malaysia telah dapat membangunkan infrastruktur negeri kearah yang lebih baik dan lengkap. Banyak jalan darat telah diwujudkan berbanding penggunaan jalan sungai dan udara ketika sebelum kemerdekaan dicapai. 

Tahap pendidikan, pengisian jawatan dalam kerajaan negeri serta penguasaan ekonomi juga akan lebih diberikan tumpuan kepada warga pribumi tempatan berbanding warga asing semasa pentadbiran British. 

#4. Perkongsian manfaat ekonomi antara wilayah

Penyertaan Sabah kedalam pembentukan Persekutuan Malaysia turut memberikan manfaat daripada sudut ekonomi. 

Sebelum kemerdekaan dicapai daripada pihak British, infrastruktur dan aktiviti perekonomian di Negeri Sabah masih lagi belum maju berbanding Tanah Melayu. 

Melalui pembentukan Malaysia, hasil ekonomi dapat dikongsikan sesama wilayah antara wilayah yang maju dengan wilayah yang kurang maju. 

Perkongsian dan pembahagian faedah ekonomi seperti ini dapat mengimbangi kemajuan kepada seluruh bahagian Peresekutuan Malaysia termasuklah di Negeri Sabah

Kesimpulan

Daripada satu sudut, pembentukan Persekutuan Malaysia sememangnya banyak memberikan manfaat atau hikmah kepada negeri-negeri di dalamnya, termasuklah Negeri Sabah. 

Jika bukan kerana persetujuan pemimpin Sabah terdahulu untuk menyertai Persekutuan Malaysia, sudah pasti kemerdekaan Sabah agak lambat untuk dicapai daripada pihak British. 

Melalui kemerdekaan yang dicapai ini, banyak kemajuan yang telah diperoleh untuk kemaslahatan penduduk tempatan Sabah itu sendiri. 

Rujukan:

http://www.arkib.gov.my/web/guest/penubuhan-malaysia-16-september-1963

https://web.archive.org/web/20160519124851/http://www.sabah.gov.my/main/ms/Home/About

2 thoughts on “Kesan Pembentukan Malaysia: Ini 4 Perkara Yang Negeri Sabah Peroleh!”

    1. Waalaikumussalam. Terima kasih kerana menyokong kami. Sila berhubung dengan nombor berikut untuk pertanyaan lanjut: 011-2338 9349

Leave a Comment

Your email address will not be published.

Scroll to Top