Kisah Inspirasi : Dari Joseph ke Yusuf Estes

Selain berkongsi tentang kisah hidup serta perjalanan para personaliti dan tokoh-tokoh dari kalangan komuniti Momogun Muslim, kami juga ingin berkongsi tentang beberapa tokoh dari luar negara yang berhijrah dari agama lama mereka dan kemudian memeluk Islam. Ramai di antara mereka yang mempunyai cerita inspiratif dan mungkin dapat memberikan sedikit pengajaran buat kita semua.

Salah seorang yang boleh dijadikan teladan adalah saudara Yusuf Estes. Beliau merupakan seorang rakyat Amerika Syarikat yang dilahirkan pada tahun 1944 dengan nama Joseph Estes. Dikahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat taat pada ajaran Kristian, ayahnya juga seorang yang sangat berpengaruh dalam komuniti mereka.

Joseph Estes membesar dalam sebuah keluarga yang boleh dikatakan agak mewah. Mereka terbabit dalam industri muzik dan hiburan serta acara luaran. Di samping sibuk memajukan perniagaan bersama ayahnya, mereka juga melakukan kerja-kerja perkongsian serta penyebaran agama mereka kepada penduduk sekeliling.

Malah Joseph Estes diberi tanggungjawab untuk menjadi Paderi yang mengetuai bahagian muzik di gerejanya. Di samping itu, beliau membesar dengan pendapat yang negatif tentang Islam. Seperti ramai penduduk di negara-negara barat, agama Islam sering disalahtafsir dan kerap juga disalah anggap sebagai agama yang kejam dan penuh kebencian.

Namun, semua ini berubah buat Joseph Estes di kala ayahnya terpaksa berurusan dengan seorang lelaki Muslim dari Mesir untuk tujuan perniagaan mereka pada tahun 1991. Ayah Joseph meminta beliau untuk bertemu dengan lelaki tersebut. Pada mulanya Joseph enggan bertemu dengan lelaki ini hanya kerana dia seorang Muslim tapi akhirnya terpaksa akur setelah diberitahu oleh ayahnya bahawa lelaki yang harus ditemui itu seorang yang baik.

Atas dasar itu, beliau memaksa dirinya untuk bertemu dengan lelaki yang bernama Mohamed Abel Rahman. Malah Joseph menyimpan hasrat untuk cuba memujuk lelaki ini supaya memeluk agama Kristian. Pada pertemuan pertamanya Joseph berfikir dia akan bertemu dengan seorang lelaki berserban dan janggut, tetapi lelaki yang ditemui tidak mempunyai semua itu. Dan benar seperti yang dikatakan ayahnya, orangnya sangat baik budi pekerti.

Dari satu pertemuan biasa, mereka akhirnya menjadi rakan perniagaan dan bekerjasama. Mereka sering membahaskan perihal agama dan ketuhanan sehingga Joesph sendiri mengajak saudara Mohamed untuk tinggal bersama di rumah mereka.

Sejak itu perbualan mereka menjadi semakin menarik dan Joseph mula terpegun dengan apa yang dibicarakan oleh Mohamed. Joseph kemudian sedar bagaimana kitab Bible mempunyai banyak versi sedangkan al-Quran hanya ada satu dan tidak pernah diubah sejak disampaikan kepada rasulnya. Joseph juga mula memahami bahawa orang Islam juga mengikuti dan mempercayai kerasulan nabi Isa A.S. dan kedudukannya dalam agama.

Salah seorang rakan Joseph yang juga seorang paderi katolik bernama Peter Jacobs yang tinggal bersama mereka turut serta berdebat dan berbahas tentang Islam. Malah Father Peter juga sempat mengikuti saudara Mohamed ke masjid beberapa kali kerana ingin melihat sendiri apa yang berlaku.

Selepas beberapa kali mengikuti Mohamed ke masjid, satu hari Father Peter pulang dari masjid sebagai seorang Muslim selepas mengucapkan syahadah. Ini telah membuka mata Joseph yang dah lama menyedari kebenaran di balik perbualan hariannya dengan Mohamed sepanjang mereka tinggal dan kerja bersama.

Selepas itu Joseph sendiri memeluk agama Islam dan kemudian peringkat demi peringkat, kesemua ahli keluarga terdekatnya memeluk Islam. Ini termasuklah ayah kandunngya, isterinya dan juga anak-anaknya sendiri.

Sejak itu beliau menggunakan nama baru Yusuf Estes dan sehingga kini beliau telah melakukan dakwah dan memberikan syarahan di seluruh dunia berkenaan Islam dan penyalahtafsiran agama tersebut.

Selepas memeluk Islam Dr Yusuf Estes mempelajari dan melanjutkan pengajian dalam Bahasa Arab serta Al-Quran di Mesir, Maghribi dan Turki. Beliau sering muncul di saluran internet seperti islam Channel, Peace TV dan HUda TV. Beliau juga melancarkan saluran TV internet dan satelit bernama GuideUS TV yang bersiaran tanpa iklan selama 24 jam.

Beliau juga membina banyak laman sesawang khas buat para Muslim yang bertutur dalam Bahasa Inggeris. Ini termasuk TubeIslam, sebuah laman perkongsian video, ChatIslam, sebuah laman ‘chatting’ dan WorldPreschool , sebuah laman pembelajaran untuk kanak-kanak.

Beliau juga telah dianugerahkan sebagai Islamic Personality of the Year di acara Dubai International Holy Quran Award pada 8 Ogos August 2012. atas sumbangannya kepada dunia Islam masa kini.

Semoga kisah beliau dapat menjadi inspirasi buat kita semua untuk terus mencari keredhaan Allah dan berkongsi segala yang baik tentang agama kita. Inshaa Allah.

Gambar ihsan Kumparan. com dan Twitter

Rujukan lanjut : http://tellmeaboutislam.com/yusuf-estes.html

https://www.islamicity.org/by/yusuf-estes

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top