Untuk minggu ini kami ingin berkongsi pengalaman dan kisah inspirasi seorang lagi tokoh wanita dari komuniti Momogun Muslim. Kisahnya tidak kurang hebat dengan tokoh-tokoh sebelum ini.
Wanita yang dimaksudkan adalah Ustazah Nur Syuhadah Maisarah Joanis Abdullah. Beliau dilahirkan di Papar dan seperti kebanyakan ahli keluarganya yang lain, beliau pada mulanya beragama Pagan. Ibubapanya berpisah ketika umurnya baru empat tahun dan beliau dibaptis pada usia 15 tahun di gereja setelah menjadi penganut Kristian. Sejak itu beliau sangat aktif dalam kegiatan gereja khasnya bersama golongan belia.
Beliau kemudian sempat bekerja sebagai seorang operator telefon di sebuah hotel. Sesudah itu beliau berkahwin dengan seorang lelaki yang beragama Kristian juga dan dikurniakan dua orang anak. Beliau kemudian berpindah kerana mengikuti suaminya yang telah mendapat kerja di Ranau. Di kota tersebut, beliau tetap aktif dengan kegiatan gereja dan masih bekerja di sebuah hotel. Malah suaminya juga aktif di gereja dan bertindak sebagai pengkhutbah yang sering juga berdoa buat mereka yang sakit.
Beliau sendiri bergerak aktif dalam liga wanita Katolik dan ini berterusan sehingga tahun 2006 di mana suaminya sekali lagi terpaksa berpindah kota demi pekerjaan. Mereka kemudian berpindah ke kota Kudat dan terus aktif di gereja di sana. Suaminya turut dilantik sebagai pengerusi gereja dan beliau pula terus memimpin liga wanita di gereja sehingga bertanggungjawab mengetuai tiga kawasan.
Pada tahun 2008 ayahnya yang masih beragama Pagan telah jatuh sakit namun beliau sempat menemani ayahnya yang kemudian sempat memeluk agama Kristian dan meninggal dunia sebagai seorang Kristian pada tahun 2009. Selepas pemergian ayahnya, beliau pulang ke kampung untuk menjaga ibunya pula. Mereka kemudian memulakan perniagaan membela kambing dan beliau sendiri membuka kedai bunga.
Entah mengapa di saat itu, beliau sama sekali tidak tergerak untuk ke gereja dan sering berasa seperti tidak tenang. Kebetulan beliau mempunyai seorang saudara beragama Islam dan saudaranya menasihati beliau untuk melafazkan sebuah doa sekiranya berasa gelisah dan tidak tenang.
Tanpa pengetahuannya, beliau melafazkan doa tersebut yang sebenarnya merupakan dua kalimah Syahadah. Dan seperti yang diberitahu saudaranya, beliau berasa lebih tenang selepas mengucapkan Syahadah. Dia sering mengucapkan Syahadah sebelum tidur dan berasa tenang setiap kali melakukannya.
Akhirnya beliau mengambil keputusan untuk ke gereja dan melutut sambil berdoa, supaya diberikan petunjuk untuk mencapai ketenangan. Dan beliau tidak tahu mengapa, hatinya makin terbuka untuk memeluk Islam selepas itu.
Lantas beliau memberitahu saudaranya yang beragama Islam tentang niatnya itu. Kemudian beliau memberitahu suaminya pula tentang hajatnya itu. Dan kemudian mereka berdua memeluk Islam. Mereka juga memberitahu anak-anak mereka selepas sudah memeluk Islam tetapi anak-anak mereka tidak menyukai keputusan tersebut. Malah, anaknya yang kedua marah dan memberitahu paderi mereka.
Semestinya anak-anak mereka sukar menerima kenyataan tersebut. Namun mereka berdua memberitahu bahawa walaupun sudah berbeza agama, mereka tetap ayah dan ibu mereka. Namun sayang sekali anak-anak tetap tidak dapat menerima.
Pada bulan Disember 2010 mereka memeluk Islam secara rasmi dan ia diraikan dengan begitu istimewa. Malah, pengislaman mereka telah dilaksanakan oleh Mufti Negeri Sabah ketika itu. Saudara beliau yang beragama Islam telah mengadakan acara khas dengan menjemput 200 orang di Restoran Sanggar Mustika yang turut menaja sajian pada hari tersebut. Mereka ditatang bagai minyak yang penuh. Begitu mesra sambutan yang mereka terima selepas memeluk Islam.
Menurutnya lagi, beliau sendiri tidak menyangka akan memeluk Islam. Sebelum ini sewaktu aktif di gereja beliau memang sering melakukan lawatan dan bertemu orang sambil membantu. Namun beliau menyedari bahawa ketika itu seperti tiada kenikmatan sama sekali saat melakukan kerja-kerja tersebut. Tetapi setelah memeluk Islam barulah beliau menemui kenikmatan yang dimaksudkan.
“Saya rasa inilah yang dimaksudkan dengan Hidayah Allah, saya sendiri tidak mampu menjelaskannya. Kita tidak mungkin tahu pusingan hidup yang bakal kita alami namun barangkali di saat itu telah tiba masa saya berhijrah ke tempat yg lebih baik,” ujar beliau.
Walau bagaimanapun mereka masih terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Ibu beliau sama sekali tidak dapat menerima berita tersebut kerana ibunya sangat bencikan agama Islam dan tidak menyukai penganutnya. Mereka dimaki hamun dan dicaci masyarakat sekeliling. Mereka kemudian mengambil keputusan untuk keluar dan menyewa rumah di tempat lain. Dalam keadaan sehelai sepinggang mereka pergi dan selama dua tahun mereka dikecam dan dicerca. Pada waktu itu keluarga dan masyarakat yang beragama Kristian tidak mengerti bagaimana dua insan yang sangat patuh akan ajaran Kristian sanggup berpindah ke agama Islam.
Pada mulanya mereka masih takut sekiranya bertembung atau berjumpa dengan orang Kristian yang mereka kenali di kedai dan tempat seumpamanya, lebih-lebih lagi mereka yang datang dari gereja yang sama.
“‘Waktu itu saya belum tahu bagaimana hendak menjelaskan tentang Islam kerana masih baru. Jadi saya agak takut kalau berjumpa dengan rakan dan saudara Kristian yang lain. Lebih menyedihkan lagi, anak saya yang kedua keluar dari rumah dan berpindah ke tempat lain tanpa memberitahu dia di mana. Namun saya tetap bersabar dan berdoa. Kemudian selepas belajar menunaikan solat, saya berdoa setiap kali selesai solat supaya Tuhan membantu saya dan suami.
Kami menerima sokongan dan bantuan daripada pihak Hidayah Centre Foundation. Mereka banyak membantu kami. Secara peribadi dengan bantuan mereka saya dapat melengkapkan diri saya dengan ilmu sehingga menjadi berani dan tidak takut lagi untuk bertemu dengan rakan dan keluarga yang beragama Kristian. Saya kemudian tahu apa yang perlu saya katakan kalau bertemu mereka. Seperti keperibadian Nabi Muhammad S.A.W. , kita harus melengkapkan diri dengan ilmu dahulu,” tambahnya lagi.
Sejak tahun 2014, beliau mula berkhidmat dengan Hidayah Center Foundation sebagai eksekutif dakwah sehinggalah sekarang. Malah beliau kini dilantik sebagai Ketua kawasan Papar dan menjadi Pengerusi komuniti Momogun Muslim di bahagian Papar.
Banyak juga pencapaian yang telah beliau kecapi, ini termasuklah menjadi panel, Forum Harmoni, Kaamatan, bersama Kumpulan nasyid lagu Dusun, dan memenangi tempat pertama peringkat daerah serta tempat kedua di peringkat negeri di Kundasang.
Selain itu beliau juga pernah memenangi tempat ketiga sewaktu Pesta Kaamatan tahun 2018 di kala menyertai perbarisan yang mewakili komuniti Momogun Muslim. Lebih membanggakan lagi beliau juga dianugerahkan Tokoh Saudara Baru Cemerlang oleh Hidayah Centre Foundation sehingga pernah menjadi Tokoh Saudara Baru peringkat negeri. Pada tahun 2019 , beliau turut mendapat Anugerah Pendakwah Negeri Sabah – di gabungan Dakwah Kuala Lumpur.
Namun di sebalik semua kejayaan tersebut yang paling beliau syukuri adalah sewaktu ibu beliau jatuh sakit pada tahun 2017, beliau telah memanggil kesemua adik-beradiknya pulang dan tinggal di rumah .
Beliaulah yang menjaga ibunya sedangkan adiknya tidak mempedulikan ibu mereka langsung. Pada 23 Ogos 2018, ibu beliau sempat mengucapkan Syahadah dan tanggal 28 Ogos ibu beliau meninggal dalam pelukannya.
“Saya bersyukur Tuhan mengabulkan doa saya yang tidak pernah putus. Saya sering berdoa supaya ibu saya diselamatkan dan meninggal dunia sebagai seorang Muslim. Saya tidak mahu dia sengsara di akhirat kelak. Alhamdulillah Allah mendengar doa saya.
Selepas permegian ibu saya dikutuk dan dibenci oleh dua orang adik saya dan pada tahun 2019 saya mengIslamkan abang saya pula. Dia juga meninggal pada bulan Mac tahun ini sebagai seorang Muslim. Biarpun saya masih dibenci tapi saya yakin ada hikmah di balik semua ujian Tuhan.
Pada saya para pendakwah di kalangan Momogun Muslim perlukan banyak latihan dari segi tugasan. Ini kerana setiap kawasan perlu dibimbing berpandukan misi dan visi yang jelas supaya tidak terkeluar dari landasan yang ditetapkan. Selain itu para pendakwah perlu banyak latihan seminar dan paling penting mesti mengenali diri sendiri. Ini kerana kita perlu kenal isi hati dahulu, barulah boleh menjalankan tugas dengan baik,” katanya menutup bicara.
Harapan beliau adalah supaya komuniti Momogun Muslim boleh berkembang lebih jauh lagi dan bukan di Sabah sahaja tapi di seluruh Malaysia dan ke luar negara. muslim. Secara peribadi beliau juga berharap di masa akan datang beliau mampu menjadi contoh bagi komuniti Momogun Muslim lain dalam menyebarkan dakwah di Sabah dan seluruh Malaysia.
Semoga semua yang diusahakan oleh Ustazah Syuhadah tidak disia-siakan dan semoga kita semua mendapat manfaat dan pengajaran daripada pengalamannya. Inshaa Allah.
MashaaAllah.. subhanallah
Alfatihah
Allah bersama-sama orang yg sabar dan tabah dengan ujian Nya