
Seramai kira-kira 150 peserta daripada pelbagai kaum dan agama telah menghadiri Seminar Kesedaran Banteras Buli yang berlangsung di Catholic Archdiocesan Centre Hall, Kota Kinabalu. Program ini menjadi simbol kukuh kepada kekuatan kerjasama komuniti merentas agama dan latar belakang dalam menangani isu sosial secara bersama.
Seminar ini dianjurkan melalui kerjasama pelbagai pihak iaitu IKRAM Sabah, Hidayah Centre Foundation Sabah, Roman Catholic Archdiocese, KDMRS Muslim, serta Gabungan Dakwah Malaysia Sabah. Kolaborasi ini mencerminkan semangat perpaduan yang tinggi serta membuktikan bahawa cabaran sosial dapat ditangani dengan lebih berkesan melalui kesatuan dan saling memahami.
Sepanjang program, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai pengisian melalui siri ceramah yang membincangkan isu buli dari pelbagai perspektif, termasuk agama, perundangan dan psikologi. Antara pengisian utama termasuk perkongsian berkaitan perspektif Islam dan Kristian terhadap isu buli, kesan undang-undang terhadap pelaku, serta impak psikologi kepada mangsa.
Seminar ini menegaskan bahawa buli bukan sekadar isu kecil, sebaliknya merupakan masalah sosial serius yang boleh memberi kesan emosi mendalam serta menjejaskan keharmonian masyarakat. Oleh itu, usaha membanteras buli memerlukan kesedaran, empati dan tanggungjawab bersama daripada semua lapisan masyarakat termasuk keluarga, institusi pendidikan, institusi keagamaan dan komuniti setempat.
Sebagai tanda penghargaan dan simbol keharmonian antara agama, pihak KDMRS Muslim telah menyampaikan tiga naskhah Al-Quran terjemahan Bahasa Dusun kepada wakil Archdiocesan Centre Kota Kinabalu.
Dari aspek pelaksanaan, staf dan sukarelawan KDMRS Muslim memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini, termasuk dalam pengurusan media, pendaftaran peserta, penyambutan tetamu serta penyediaan makanan. Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan mencerminkan tahap profesionalisme yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab.
Program ini merupakan antara inisiatif utama KDMRS Muslim melalui Unit Program, selaras dengan komitmen organisasi dalam menyokong program kemasyarakatan berimpak tinggi.
Majlis penutupan bagi komuniti Islam telah disempurnakan oleh Pengerusi KDMRS Muslim, Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah, yang turut menyampaikan ucapan rumusan dengan penuh komitmen terhadap usaha memperkukuhkan perpaduan dan menangani isu sosial secara bersepadu. Manakala penutupan bagi komuniti Kristian disampaikan oleh wakil pihak gereja.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam membanteras buli serta memperkukuhkan keharmonian dalam masyarakat majmuk di Sabah.
Â
