
Alhamdulillah, Program Pengurusan Jenazah anjuran MRSM Ranau berjalan dengan lancar dan penuh pengisian.
Program yang penuh manfaat ini bertujuan memberi pendedahan awal serta kefahaman yang jelas kepada para pelajar tentang tatacara pengurusan jenazah mengikut syariat Islam. Selain aspek teknikal, program ini turut menyemai nilai keinsafan, tanggungjawab dan kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu fardu kifayah dalam kehidupan bermasyarakat.
Sesi dimulakan dengan taklimat teori yang disampaikan oleh Ustaz Roslan Abu Samah dari JHEAINS Ranau, yang menjelaskan asas-asas pengurusan jenazah dari sudut hukum dan pelaksanaan. Seterusnya, Ustazah Masni Yusin mengambil alih dengan sesi demonstrasi praktikal yang menyentuh kaedah memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan hingga mengebumikan jenazah secara terperinci dan penuh hikmah.
Para peserta menunjukkan minat yang mendalam dan memberikan maklum balas yang sangat positif. Ramai yang menyatakan bahawa ini merupakan pengalaman berharga yang membuka mata dan hati tentang tanggungjawab sosial dalam Islam.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada MRSM Ranau atas penganjuran program ini serta jemputan untuk turut sama menjayakannya. Semoga ilmu yang diperoleh dapat diamalkan serta dikongsi kepada masyarakat sekeliling, demi melahirkan generasi yang celik agama, berilmu dan berbakti.