Wal ‘Asr (Demi masa!)
Manusia menjadi saksi akan pantasnya masa berlalu. Ia tidak pernah berhenti menunggu sesiapa.
Setiap permulaan pula pasti ada pengakhiran.
Setelah hampir sebulan peluang beramal dibuka seluas-luasnya dengan ganjaran yang tiada tolok-bandingan, kini hanya tinggal sedikit sahaja lagi masa yang berbaki sebelum Ramadan 1445H melabuhkan tirainya.
Saat-saat akhir seperti inilah sepatutnya waktu keemasan yang paling tepat untuk kita lebih bersemangat, jadi paling kuat beramal dan paling pulun – umpama seorang pelari maraton yang sudah pun hampir sampai ke penghujung lariannya.
Lari punya lari, kejar punya kejar – apa sebenarnya yang kita cari sepanjang Ramadan 1445H ini? Adakah sudah tercapai?
Pencapaian di Bulan Ramadan
Terlalu banyak isyarat jelas menunjukkan pencapaian (output) yang sepatutunya seorang hamba itu peroleh daripada ibadahnya di bulan Ramadan. Antaranya sabda Nabi s.a.w.:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya:
“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharap redha Allah, nescaya diampunkan segala dosa-dosanya yang telah lalu” (Muttafaqun ‘alaih)
Memohon ampunan dari Allah SWT juga menjadi agenda utama Lailatul Qadr. Ini jelas daripada perkhabaran Aisyah r.a. tentang doa yang diajarkan Nabi s.a.w., untuk dibaca sebanyaknya pada malam tersebut:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعَفُ عَنِّي
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, sukakan keampunan, maka ampunilah aku” (Hadith Riwayat Imam Al-Tirmizi)
Sebaliknya, kegagalan mendapat ampunan Allah di bulan Ramadan merupakan tanda kecelakaan seorang hamba. Ini digambarkan oleh kata-kata Jibril a.s. dalam hadith riwayat Ibn Hibban:
مَنْ أَدْرَكَ شَهْرَ رَمَضَانَ فَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ فَدَخَلَ النَّارَ فَأَبْعَدَهُ اللَّهُ
“Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya, maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT“.
Jelas dari dalil-dalil di atas bahawa ampunan dari Allah SWT merupakan satu indikator keberhasilan dan tercapainya objektif ibadah sebulan Ramadan kita.
Sedekah Memadam Dosa
Oleh itu, fokuslah kepada mengejar ampunan Allah SWT sebelum perginya bulan Ramadan dengan memperbanyak taubat, doa, istighfar, serta menghidupkan Sunnah Nabi s.a.w. yang sering dilupakan fadhilatnya iaitu berinfaq. Sabda baginda s.a.w.:
وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ
“Sedekah memadamkan dosa sepertimana air memadamkan api” (HR Tirmizi)
Apabila terhapusnya dosa-dosa kita, mudah-mudahan urusan hisab kita di akhirat menjadi ringan. Apatah lagi apabila urusan harta merupakan antara perkara yang akan dihisab dan dihitung dengan teliti di akhirat kelak.
Ini selari dengan perkhabaran baginda s.a.w. bahawa kaki seorang anak Adam itu tidak akan berganjak pada hari kiamat selagi mana dia tidak selesai ditanya tentang apa yang telah diperbuat terhadap umurnya, ilmunya, hartanya (adakah dari sumber yang halal serta ke mana ia dibelanjakan?) dan tubuh badannya (HR Tirmizi).
Ayuh usahakan agar kita tinggalkan Ramadan tahun ini dalam keadaan telah diampuni dari segala dosa. Teruslah berinfaq dan laburkan harta kita terus ke akaun akhirat. Mudah-mudahan kita semua berjaya menebus rahmatNya di hari akhirat kelak.
Infaq untuk Dana Mualaf KDMRS Muslim kini semudah klik gambar di bawah:
Jazakumullahu khairan atas sokongan padu anda.
Mudah-mudahan ditambahkan rezeki dan kebahagiaan dunia akhirat. Ameen.